Sylvia Lim’s Second Open Letter to Residents (Malay)
SURAT TERBUKA KEDUA KEPADA PARA PENDUDUK BANDAR ALJUNIED-HOUGANG-PUNGGOL EAST
Para Penduduk yang dihormati,
Dalam Surat Terbuka saya yang pertama kepada anda pada Jun 2015, saya telah menjelaskan tiga perkara utama mengenai pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC), seperti yang berikut:
1. AHPETC tidak dan tidak boleh mengkhususkan kontrak-kontrak untuk “kawan-kawan” disebabkan proses tender awam;
2. Dakwaan mengenai “pembayaran berlebihan” oleh AHPETC kepada bekas Ejen Pengurusan (MA), apabila dibandingkan dengan kadar yang dibayar oleh Majlis Bandaran PAP pada 2014, adalah suatu dakwaan yang keterlaluan, jika perbandingan yang sama dibuat kepada kadar yang dibayar oleh Majlis Bandaran PAP pada 2011, 2012 dan 2013 mengikut data yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND);
3. Kadar Ejen Pengurusan (MA) yang telah dipersetujui oleh AHPETC sebagai bayaran kepada MA pada 2012 adalah berdasarkan kadar Ejen Pengurusan (MA) yang dibayar oleh pengurusan PAP bagi Majlis Bandaran Aljunied kepada Ejen Pengurusan (MA) mereka yang sebelum ini.
Jika anda terlepas membaca surat terbuka yang pertama, anda boleh membacanya di laman web https://www.ahtc.sg/sylvia-lims-open-letter-to-residents-malay/.
Dalam Surat Terbuka yang kedua ini, saya ingin menjelaskan serta memberi jaminan kepada kesemua penduduk-penduduk bahawa AHPETC memberi keutamaan terhadap kepentingan anda semua semasa kami menjalankan segala tugasan kami dan akan terus meningkatkan usaha dalam aspek pengurusan kewangan.
Surat kali ini akan membincangkan isu konflik kepentingan dan kedudukan kewangan AHPETC.
1. Konflik Kepentingan Dan Urusan Pihak Berkaitan
Terdapat dakwaan mengenai urusan ‘pihak berkaitan’ di antara AHPETC dengan bekas Ejen Pengurusan (MA), FM Solutions & Services Pte Ltd (FMSS).
Pertama, perkara ini bukan lagi menjadi satu isu, kerana AHPETC kini diuruskan secara langsung (lihat bahagian seterusnya untuk keterangan lanjut) dan kerja-kerja pengurusan tidak lagi diserahkan kepada Ejen Pengurusan (MA). Kontrak Ejen Pengurusan (MA) yang sebelum in telah berakhir pada 14 Julai 2015 dan tidak ada syarikat menyertai pembidaan untuk mengambil alih perkhidmatan Ejen Pengurusan (MA) selepas 14 Julai 2015.
Sejak 15 Julai 2015, AHPETC menjalankan pengurusannya sendiri. Ini bermakna AHPETC kini menggajikan warga kerjanya sendiri untuk menguruskan estet, kewangan, pentadbiran dan tugas-tugas yang lain.
Di bawah pengurusan langsung, kontraktor-kontraktor AHPETC masih menyediakan perkhidmatan di bawah kontrak yang sedia ada, yang kini diselia oleh warga kerja yang digajikan oleh Majlis Bandaran secara langsung.
Kedua, konflik kepentingan tidak pernah berlaku dalam apa bentuk sekalipun di antara Parti Pekerja (WP) atau mana-mana Anggota Parlimennya (AP) dengan FMSS. Sama ada Parti Pekerja, AP-AP nya ataupun anggotanya tidak ada sebarang kepentingan dalam urus niaga FMSS. Tidak ada seorang pun pengarah atau pemegang saham FMSS adalah anggota WP.
Ketiga, terdapat tuduhan bahawa dalam tempoh kontrak Ejen Pengurusan (MA) dengan AHPETC yang lalu, pasukan suami isteri yang menjadi pemilik FMSS bebas untuk menandatangani apa-apa pembayaran kepada syarikat mereka. Ini adalah tidak benar. Apabila WP mengambil alih pada 2011, salah satu keputusan pertama yang diambil oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang ialah untuk mensyaratkan apa-apa bayaran kepada Ejen Pengurusan (MA), sama ada jumlah yang kecil atau besar, memerlukan tandatangan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi AHPETC yang tidak ada kepentingan dalam perniagaan Ejen Pengurusan (MA).
2. Kedudukan kewangan AHPETC
Ada pihak yang menuduh AHPETC telah muflis dan menanggung defisit yang besar, yang tidak mampu ditanggungnya dan juga memberi amaran kepada para penduduk estet lain untuk tidak mengundi WP supaya penduduk tidak membiayai AHPETC. Tuduhan-tuduhan ini tidak berasas.
AHPETC telah memfailkan penyata yang telah diaudit bagi Tahun kewangan 14/15, tepat pada masanya, sebelum 31 Ogos 2015. Walaupun penyata tersebut menunjukkan AHPETC berada dalam defisit, namun ini adalah kerana AHPETC masih BELUM menerima geran operasi S&CC tahunan sebanyak $7.2 juta daripada pemerintah, yang biasanya dibayar kepada semua majlis bandaran pada April 2014. Dengan mengambil kira geran $7.2 juta yang AHPETC sepatutnya terima, maka penyata pendapatan dan perbelanjaan tahunan AHPETC akan menunjukkan lebihan tahunan sebanyak $1.7 juta.
Sebahagian besar defisit yang lalu adalah disebabkan oleh harga tender yang lebih tinggi untuk pelbagai kontrak-kontrak perkhidmatan dan kos permulaan.
Jumlah kedudukan semasa yang positif diraih melalui gabungan beberapa usaha yang diambil oleh AHPETC. Ini termasuk mengurangkan kos utiliti dengan menggunakan tenaga pasaran (contestable energy), mengurangkan perbelanjaan am dan pentadbiran, dan peningkatan dalam pendapatan.
Dalam menempuhi tahun-tahun awal yang sukar, pengurusan AHPETC percaya bahawa ia boleh meningkatkan kedudukan kewangan majlis bandaran, dan audit terkini menunjukkan bahawa perkara ini telah tercapai. Kami menjangkakan kedudukan kewangan AHPETC akan diperbaiki dan diperkukuhkan lagi pada masa-masa mendatang.
Kami telah melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada penduduk, dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada warga kerja majlis bandaran di atas sumbangan mereka kepada kemajuan yang telah kita capai dan kepada para penduduk di atas sokongan dan pemahaman anda.
Sylvia Lim
Pengerusi
Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East
Ogos 2015