Sylvia Lim’s Open Letter to Residents (Malay)

SURAT TERBUKA KEPADA PARA PENDUDUK

Para Penduduk yang dihormati,

Isu mengenai kontrak Ejen Pengurusan (MA) bagi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East telah dibawa ke perbahasan Parlimen serta mendapat banyak liputan media yang negatif. Saya menulis kepada anda untuk menjelaskan pelbagai salah faham di dalam isu ini. Saya juga ingin memberikan beberapa perkembangan dalam pengurusan AHPETC.

Tender-tender awam bagi kontrak-kontrak AHPETC

Adakah benar AHPETC telah memberikan kontrak-kontrak kepada “rakan-rakan”?

Tidak benar.

Perkara yang sebenar ialah pada 2012, tender awam telah dibuka dan diiklankan di akhbar Straits Times bagi kontrak Ejen Pengurusan (MA) dan Unit Penyenggaraan dan Perkhidmatan Asas (EMSU). Pada tahun 2014 dan 2015, satu tender awam juga telah dibuka untuk kontrak MA dan kontrak EMSU. Sesiapa sahaja boleh membuat bidaan bagi tender awam tersebut. AHPETC tidak dan tidak boleh mengkhususkan kontrak-kontrak untuk rakan-rakan dalam tender awam.

Tender bagi perkhidmatan MA hanya tidak dibuka secara awam bagi tempoh satu tahun sahaja iaitu bermula Julai 2011 hingga Julai 2012. Ini adalah kerana proses pengambil-alihan perlu dilakukan dengan segera. Anggota-anggota Parlimen (AP) yang dilantik telah membuat keputusan untuk memberikan kontrak sementara selama satu tahun bagi pengurusan awal Majlis Bandaran tanpa proses membuka tender awam kepada syarikat FM Solutions & Services Pte Ltd (FMSS), yang baru ditubuhkan serta dianggotai oleh para pengurus dan staf daripada Majlis Bandaran Hougang yang sebelumnya. Keputusan ini dibuat untuk memastikan agar proses peralihan kepada pengurusan majlis bandaran yang baru (AJTC kepada AHTC) dapat dijalankan dengan lancar, memandangkan kami mempunyai masa yang singkat untuk melakukannya dan juga supaya perkhidmatan kepada penduduk tidak terjejas.

Pemberian kontrak MA tanpa melalui proses tender awam adalah dibenarkan mengikut Peraturan Kewangan Majlis Bandaran dan ini tercatit pada perenggan 76 pada peraturan ini. Namun demikian, para Anggota Majlis Bandaran tidak memberikan kontrak MA selama tempoh 3 tahun, seperti yang selalu yang dipraktikkan, kepada FMSS kerana Majlis Bandaran telah membuat keputusan untuk mengadakan satu proses membuka tender awam bagi khidmat MA secepat mungkin dan sebaik sahaja urusan pengambil-alihan pengurusan Majlis Bandaran selesai dan perjalanan operasi menjadi stabil.

Kadar Ejen Pengurusan & “Pembayaran Berlebihan”

Anda mungkin telah melihat dan membaca laporan mengenai AHPETC telah membuat pembayaran yang ‘berlebihan’ kepada FMSS dalam jumlah anggaran $1.6 juta bagi setahun dan $6.4 juta dalam masa empat tahun.

Sebagai menyokong dakwaan ini, sebuah rajah yang menyatakan kadar Ejen Pengurusan Majlis Bandaran tahun 2014 telah diedarkan semasa perbahasan di parlimen pada 12 Feb 2015 dan Menteri Undang-undang mengatakan bahawa “FMSS mengenakan bayaran sebanyak $14.92 kepada Majlis Bandaran bagi setiap unit komersil berbanding dengan kadar bagi Majlis Bandaran lain yang jumlahnya adalah antara $4.80 hingga $6.65” dan “FMSS juga mengenakan bayaran sejumlah $7.43 kepada Majlis Bandaran bagi setiap unit perumahan sementara Majlis Bandaran yang lain mengenakan bayaran antara $4.80 hingga $6.65”. Beliau telah menggunakan jumlah-jumlah ini sebagai asas dalam pengiraan jumlah anggaran bayaran ‘berlebihan’ yang disebut di atas, dalam membuat perbandingan kadar FMSS dengan kadar purata bagi kadar MA untuk Majlis Bandaran yang lain bagi tahun 2014.

Kami kehairanan dengan kadar MA yang digunakan oleh Menteri. Ini telah menyebabkan saya menanyakan soalan di Parlimen untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut dari Menteri Pembangunan Negara perihal kadar-kadar ini. Pada 5 Mac 2015 di Parlimen, Menteri menunjukkan rajah seperti di bawah ini untuk memberikan penjelasannya.

Rajah 1 – Kadar MA bagi setiap Unit Perumahan mengikut Majlis Bandaran (2011-2014)

Majlis Bandaran 2011 2012 2013 2014
AHPE $7.87** $7.87** $7.01 $7.43
Ang Mo Kio $5.08 $5.08 $5.08 $5.33
Choa Chu Kang $5.13 $5.13 $5.06* $5.06
East Coast $6.10 $6.20 $6.30 $5.10
Holland-Bukit Panjang $5.95 $6.10 $6.20 $6.30
Jurong $5.35 $5.45 $5.55 $5.55
Marine Parade $5.13 $5.13 $5.13 $5.13
Moulmein-Kallang $6.63 $6.63 $6.63 $5.80
Nee Soon $6.05 $6.20 $6.30 $6.40
Pasir Ris-Punggol $6.11 $6.20 $6.25 $5.50
Potong Pasir $6.63 $7.80 $7.80 $5.80
Sembawang $6.05 $6.20 $6.30 $6.40
Tampines $5.00 $5.00 $4.79* $4.79
Tanjong Pagar $6.22 $6.25 $6.45 $6.65
West Coast $6.01 $6.01 $6.10 $6.21

Nota:

*Terdapat pertukaran MA (Ejen Pengurusan) dalam tempoh kadar yang lebih tinggi.
**Pengiraan yang dilakukan oleh MND menggunakan yuran MA (Ejen Pengurusan) yang dibayar, termasuk untuk pengurusan lot-lot letak kereta dan tidak membezakan di antara kadar unit perumahan dan unit komersil.

Berikut adalah ulasan kami mengenai kadar MA untuk unit perumahan daripada Rajah 1:

1. Kadar MA bagi Majlis Bandaran PAP pada 2014 adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya bagi enam buah Majlis Bandaran. Pada 2011, terdapat lapan buah Majlis Bandaran PAP dengan kadar MA setiap unit perumahan melebihi $6 dan sembilan Majlis Bandaran pada 2012 dan 2013. Pada 2014, bilangan tersebut berkurangan menjadi lima buah dan “kadar purata” bagi kadar MA bagi Majlis Bandaran PAP adalah yang paling rendah.

2. Jika dibandingkan dengan 2013, kadar MA bagi setiap unit perumahan berkurangan dengan mendadak pada 2014 untuk empat buah Majlis Bandaran PAP walaupun tidak ada pertukaran MA. Contohnya, East Coast dari $6.30 kepada $5.10, Moulmein-Kallang dari $6.63 kepada $5.80, Pasir Ris-Punggol dari $6.25 kepada $5.50 dan Potong Pasir dari setinggi $7.30 kepada $5.80.

Seterusnya, kita meneliti data mengenai kadar MA bagi unit komersil:

Rajah 2 – Kadar MA bagi setiap Unit Komersil mengikut Majlis Bandaran (2011-2014)

Majlis Bandaran 2011 2012 2013 2014
AHPE $7.87** $7.87** $14.08 $14.92
Ang Mo Kio $5.08 $5.08 $5.08 $5.33
Choa Chu Kang $5.13 $5.13 $5.06* $5.06
East Coast $11.50 $11.50 $11.50 $5.10
Hollang-Bukit Panjang $5.95 $6.10 $6.20 $6.30
Jurong $5.35 $5.45 $5.55 $5.55
Marine Parade $5.13 $5.13 $5.13 $5.13
Moulmein-Kallang $6.63 $6.63 $6.63 $5.80
Nee Soon $6.05 $6.20 $6.30 $6.40
Pasir Ris-Punggol $11.50 $11.50 $11.50 $5.50
Potong Pasir $6.63 $7.80 $7.80 $5.80
Sembawang $6.05 $6.20 $6.30 $6.40
Tampines $5.00 $5.00 $4.79* $4.79
Tanjong Pagar $6.22 $6.25 $6.45 $6.65
West Coast $6.01 $6.01 $6.10 $6.21

Nota: * dan ** sama dengan Rajah 1 di atas.

Dari Rajah 2, sebelum 2014 kami mendapati beberapa MA Majlis Bandaran PAP mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk menguruskan unit komersil berbanding unit perumahan. Contohnya, kadar MA untuk unit komersil di Majlis Bandaran East Coast dan Pasir Ris Punggol adalah $11.50 sedangkan kadar yang dikenakan untuk unit perumahan adalah dalam lingkungan kadar $6. MA yang menguruskan Majlis Bandaran Aljunied (AJTC) yang sebelum ini iaitu syarikat CPG Facilities Management (“CPG”), juga melaksanakan perkara yang sama, dimana Majlis Bandaran Aljunied (AJTC) yang sebelum ini mempunyai kadar MA yang berbeza bagi unit-unit perumahan dan komersil (lihat Rajah 3).

Pada 2014, seperti yang tertera di rajah, semua MA yang menguruskan Majlis Bandaran PAP melaksanakan amalan kadar yang sama bagi yuran MA bagi unit komersil dan perumahan. Oleh itu, dengan mengambil kadar 2014 sahaja, kadar komersil $14.92 bagi AHPETC kelihatan lebih mahal berbanding kadar rata Majlis Bandaran PAP.

Walau bagaimanapun, jika kita menggunakan logik yang sama yang digunakan oleh kedua Menteri tersebut untuk mendapatkan anggaran “bayaran berlebihan”, maka Majlis Bandaran PAP seperti Tanjong Pagar (77,300 unit), Nee Soon (65,000 unit) dan Sembawang (67,000 unit) juga telah membayar secara berlebihan bagi MA dalam anggaran $860,000, $530,000 dan $550,000 setahun bagi masing-masing Majlis Bandaran tersebut. Maksud saya ialah dengan membandingkan kadar MA Majlis Bandaran dengan kadar MA “purata berwajaran” untuk semua Majlis Bandaran adalah bukan satu cara yang baik untuk menilai keadilan bagi kadar yang dikenakan oleh Majlis Bandaran. Seperti yang anda boleh lihat pada Rajah 1 & 2 di atas, terdapat kepelbagaian dalam kadar MA di kalangan Majlis Bandaran, dimana ini adalah mencerminkan tentang perbezaan keadaan kawasan dan keperluan yang terdapat pada setiap bandar.

Menetapkan harga yang adil bagi kontrak MA di dalam situasi yang tidak kompetitif

Semasa perbahasan parlimen, Menteri Undang-undang juga menyebut mengenai Majlis Bandaran Tampines dan Choa Chu Kang kerana bandar-bandar ini dianggap mempunyai persamaan atau mempunyai jumlah unit yang sama dengan AHPETC. Secara kebetulan, dua buah Majlis Bandaran PAP ini juga mengenakan bayaran MA yang lebih rendah pada 2014 (lihat Rajah 1). Walaupun ada menunjukkan perbezaan namun perbandingan Tampines dan Choa Chu Kang dengan AHPETC adalah satu perbandingan yang tidak begitu tepat atau yang sebaiknya kerana setiap keadaan bandar adalah berbeza dari aspek geografinya dan juga ciri-ciri bandar yang menentukan bagaimana ia diuruskan.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, kami membuat keputusan untuk memberikan kontrak sementara selama setahun kepada FMSS demi untuk memastikan proses peralihan dapat berjalan dengan lancar dan juga untuk mengelakkan sebarang gangguan perkhidmatan kepada para penduduk sebelum kami membuka tender secara awam pada tahun berikutnya, 2012. Persoalannya ialah bagaimanakah penetapan harga kontrak MA selama setahun ini dapat ditetapkan secara adil dan terbaik.

Sewajarnya, kami menggunakan kadar kontrak MA yang dipersetujui diantara dua pihak sebelum ini iaitu Majlis Bandaran Aljunied (AJTC) dengan Ejen Pengurusan (MA) mereka iaitu syarikat CPG sebagai rujukan utama kami untuk memastikan penetapan harga yang adil bagi kontrak MA tersebut (lihat Rajah 3). Tidak ada sebab untuk kami meragui profesionalisma Majlis Bandaran Aljunied (AJTC) yang sebelum ini telah mengenakan jumlah MA yang berikut dalam kontrak mereka bersama syarikat CPG. Yang lebih penting, kami yakin, seperti yang terbukti dengan kadar MA yang berbeza dalam Rajah 1 & 2, kadar MA yang dipersetujui dengan syarikat CPG mencerminkan kos pengurusan bandar yang bersesuaian dari aspek keadaan geografi dan ciri-ciri bandar.      

Rajah 3: Kadar Kontrak MA CPG untuk Majlis Bandaran Aljunied

Period Perumahan Komersil
1 Ogos 2010 – 31 Julai 2011 $6.03 $12.80
1 Ogos 2011 – 31 Julai 2012 $6.37 $12.80
1 Ogos 2012 – 31 Julai 2013 $6.73 $12.80

Oleh itu, apabila Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) melantik syarikat FMSS sebagai Ejen Pengurusan (MA) bagi tempoh satu tahun, kontrak untuk pengambil-alihan Majlis Bandaran Aljunied (AJTC), kadar MA telah ditetapkan pada kadar MA yang sama seperti yang telah dipersetujui terdahulunya di antara Majlis Bandaran Aljunied (AJTC) dengan syarikat CPG pada tahun itu (1 Ogos 2011 – 31 Julai 2012). Dengan kata lain, kontrak kami dengan syarikat FMSS sebahagian besarnya sama dengan kadar kontrak MA dengan syarikat CPG untuk tahun kedua pada harga $6.37 bagi unit perumahan dan $12.80 bagi unit komersil (ditandakan di Rajah 3). Ini adalah komponen kos yang pertama bagi kontrak sementara satu tahun. Tetapi, terdapat komponen kos yang kedua yang meliputi pengambil-alihan staf yang sedia ada daripada Majlis Bandaran Hougang pada kadar gaji mereka yang sedia ada dan juga beberapa staf tambahan yang perlu diambil bekerja untuk membantu dalam pengambil-alihan sebelum tarikh rasmi pengambil-alihan.

Semasa waktu tender awam yang dijalankan untuk perkhidmatan MA pada 2012 dan 2014, AHPETC tidak menerima sebarang bidaan (tender) selain dari bidaan FMSS yang menyertai bidaan untuk tender awam kami bagi MA pada 2012.  Dengan ketiadaan pembida yang lain, sekali lagi kami menggunakan kadar kontrak syarikat CPG dengan mengikut kadar tahun ketiga (2012) sebagai harga rujukan kami (Rajah 3).

Kami memberikan kontrak MA tersebut kepada syarikat FMSS pada kadar kontrak $7.01 bagi 2012/2013 untuk setiap unit perumahan. Ia adalah kenaikan harga kira-kira 4% berbanding kepada kadar kontrak CPG tahun ketiga iaitu $6.73 bagi 2012. Kami juga menilai kadar kenaikkan ini dan mendapati ia adalah wajar berdasarkan beberapa sebab, termasuk keperluan mengendalikan pejabat tambahan Majlis Bandaran di Kaki Bukit dan juga skala ekonomi yang lebih rendah, dimana syarikat FMSS sebagai pengendali yang lebih kecil berbanding dengan syarikat CPG. Kami juga sedar dan maklum dengan kadar MA di beberapa Majlis Bandaran PAP dalam lingkungan $5 hingga $7 pada masa tender dibuka pada 2012.

Kenaikan kadar kontrak MA yang berikutnya dari $7.01 pada 2012/2013 hingga $7.43 bagi 2013/2014 bagi syarikat FMSS untuk setiap unit perumahan adalah mencerminkan kenaikan tahunan 6% bagi kadar kontrak MA syarikat CPG untuk setiap unit perumahan.

Sebagai ringkasan, komitmen kontrak kami dengan syarikat FMSS adalah berdasarkan satu penilaian yang teliti yang berpandukan maklumat pasaran yang terdapat pada 2012 semasa tender dibuka dan juga atas dasar situasi dimana tidak ada pembida-pembida dari mana-mana syarikat selain daripada syarikat FMSS dan yang terpenting bagi kami adalah mengutamakan kelangsungan perkhidmatan tanpa sebarang gangguan kepada para penduduk.

Susulan kepada Laporan oleh Pejabat Ketua Auditor Negara

AHPETC telah menjalani proses audit yang intensif selama 10 bulan oleh Pejabat Ketua Auditor Negara (AGO) pada 2014. AGO telah mendapati beberapa kecuaian di dalam pengurusan kewangan dan kelemahan dalam proses kawalan. AHPETC telah melakukan beberapa pembaikan dan juga dengan segera telah melantik akauntan luaran untuk membantu memperbaiki akaun dan mengukuhkan lagi proses serta kawalannya. Perlaksanaan tersebut telah berjalan dengan baik sementara ada beberapa isu-isu kewangan yang akan mengambil masa untuk dihuraikan. AHPETC juga sedang berusaha memfailkan akaun yang diaudit sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Negara.

Peralihan kepada Pengurusan Langsung

Menjelang Julai 2015, kami akan memulakan pengurusan langsung Majlis Bandaran AHPE, kerana tidak ada syarikat yang telah membuat bidaan untuk menjalankan khidmat MA bagi AHPETC. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengawal kos dan melindungi kepentingan kewangan jangka masa panjang AHPETC. Bagi pihak rakan-rakan AP saya dan para anggota Majlis Bandaran, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sokongan anda. Walau kami berdepan dengan suasana politik yang mencabar, kami akan terus menjalankan perkhidmatan yang terbaik untuk anda.  

Sylvia Lim
Pengerusi
Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East

Jun 2015